1.0
PENDAHULUAN
Persoalan
nusyuz isteri merupakan suatu isu kritikal dalam kehidupan berumah tangga.
Daripada aspek perundangan, isu pensabitan nusyuz isteri dilihat memerlukan
penyelesaian apabila beberapa permasalahan didapati mengganggu kelancaran
pengendalian kes-kes berkaitan dengannya.
Permasalahan tersebut ialah kekaburan peruntukan berkaitan
pensabitan nusyuz isteri dalam enakmen, prosedur tuntutan sabitan nusyuz isteri
yang kurang jelas dan beban pembuktian nusyuz isteri yang berat sehingga
membawa kepada penghakiman yang tidak konsisten. Justeru, ia bertujuan untuk menganalisa
peruntukan dan tatacara pensabitan nusyuz dalam Enakmen Keluarga Islam Negeri
Perak.
Seterusnya, turut
menganalisa sama ada penghakiman kes-kes nusyuz isteri di Mahkamah Rendah
Syariah Ipoh Perak dibuat secara konsisten serta selaras dengan fiqh Islam.
Selain itu, mendapati bahawa peruntukan berkaitan nusyuz isteri ada dinyatakan
dalam Enakmen Keluarga Islam Negeri Perak, tetapi bukan khusus tentang
pensabitan nusyuz sebaliknya berkaitan kesan nusyuz terhadap nafkah.
Penghakiman untuk pensabitan nusyuz isteri pula didapati dibuat mengikut
prosedur yang ketat dan bersifat berhati-hati demi memastikan keadilan
pihak-pihak yang bertelingkah dapat ditegakkan selaras dengan fiqh Islam.
2.0 TAKRIF NUSYUZ
Nusyuz
merupakan suatu isu yang dibincangkan dalam syariat Islam di bawah bidang
kekeluargaan atau munakahat. Mustafa al-Bugha dan Mustafa al-Khin (1998)
mentakrifkan nusyuz sebagai keingkaran isteri terhadap suami dengan tidak mentaatinya
seperti yang telah diwajibkan oleh Allah. Allah s.w.t. menjelaskan dalam surah al-Nisa’ ayat 34 berkaitan
langah-langkah yang perlu diambil oleh suami sekiranya isteri nusyuz dengan
firmanNya yang bermaksud:
‘Dan
perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz)
hendaklah kamu menasihati mereka dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka
di tempat tidur dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan
pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada
kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya
Allah Maha Tinggi, Lagi Maha Besar.”
Al-Kasaniyy
(1997) menyebut bahawa seseorang isteri wajib mentaati suaminya apabila diajak
untuk bersetubuh. Begitu juga seseorang isteri wajib menyerahkan dirinya kepada
suami dan memelihara keaiban suami. Suami pula mempunyai autoriti untuk
mendidik (ta’dib) tatkala isteri tidak mentaatinya dalam perkara-perkara yang
sepatutnya ditaati kerana perkara ini dikira sebagai nusyuz.
Menurut
Muhammad ‘Alish (1989) pula, isteri yang nusyuz diertikan sebagai isteri yang
terkeluar daripada ketaatan terhadap suaminya, iaitu melarang suami daripada
menyetubuhinya, melarang suami daripada berseronok-seronok dengannya, keluar
dari rumah tanpa izin suami dan mengabaikan hak-hak Allah seperti mandi junub,
solat dan puasa Ramadhan.
Menurut
pandangan al-Ashqar (1998), nusyuz isteri ialah penderhakaan isteri terhadap
suaminya dalam perkara yang diwajibkan oleh Allah. Menurut al-Ashqar (1998)
lagi, tanda-tanda nusyuz isteri antaranya ialah keluar dari rumah suami tanpa
izinnya, enggan menuruti ajakan suami ke bilik tidur atau menuruti kehendak
suami tetapi dalam keadaan yang terpaksa dan kebencian.
3.0 Isteri
Yang Melakukan Nusyuz
Nusyuz
berasal daripada perkataan nasyaz yang bererti “tempat yang tinggi.” Ini
menunjukkan bahawa isteri dilarang untuk menyombongkan diri atau menempatkan
diiri pada posisi yang lebih tinggi berbanding suami.
Nasyaz
juga bererti suara yang sumbang. Nada yang nasyaz bererti
nada yang keluar daripada keteraturan . Ianya menyiratkan bahawa isteri tidak
boleh menyimpang daripada ketaatan terhadap suami.[1]
Seorang
suami seharusnya memerhatikan isterinya dan tidak membiarkannya melakukan nusyuz.
Jika suami merasa bahawa isterinya bersingkap bongkak dan enggan melaksanakan
perintahnya, maka dia harus memberinya peringatan.
Terdapat
tiga fasa yang harus dilakukan secara berturutan oleh suami dalam bertindak ke
atas gejala-gejala nusyuz daripada isterinya.
“…Perempuan-perempuan
yang kamu khuatirkan akan meninggalkan kewajipannya (nusyuz),hendaklah kamu
beri nasihat kepada mereka, tinggalkanlah mereka di tempat tidur dan pukullah
mereka. Tetapi jika mereka mentaatimu, maka janganlah kamu mencari-cari alasan
untuk menyusahkan mereka….”
4.0 Hukum
Nusyuz
Apabila
seorang suami melihat gejala-gejala nusyuz pada diri isterinya, dia boleh
menasihatkannya. Apabila isteri tetap ingkar, maka seorang suami boleh menjauhi
isteri dari tempat tidurnya. Apabila masih tetap membangkang, maka suami boleh
memukulnya (dengan pukulan yang tidak membahayakan). Dengan sikap nusyuz yang
dilakukan seorang isteri , maka seorang suami tidak wajib menggilir dan
menafkahinya.[2]
Allah
Taala berfirman:
وَالَّتِى تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَاهْجُرُوهُنّض فِى
ألأْمَضَا جِعِ وضرِبُوهُنَّ
Ertinya:
“Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka
(nusyuz), kamu hendaklah menasihat mereka, dan (jika mereka berdegil)
pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil)
pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya)”.
5.0 Sebab-
sebab berlakunya nusyuz:
Seseorang
isteri dikatakan nusyuz apabila tidak mentaati suaminya dan melakukan perkara
yang bersifat ingkar kepadanya. Antara contoh perbuatan nusyuz seperti keluar
rumah tanpa sebab atau tanpa kebenaran suami, bermusafir tanpa izin suami,
enggan membuka pintu apabila suami hendak memasuki rumah, ingkar atau enggan bersetubuh
dengan suami tanpa keuzuran seperti sakit dan lain-lain.[3]
6.0 Cara
Mengatasi Nusyuz
Apabila
tanda-tanda nusyuz mula kelihatan daripada seseorang, seperti bersikap enggan
dan bermasam muka, sedangkan dia seorang yang berlemah lembut dan bermanis muka
ataupun suami mendengar isteri menutur kata-kata kesat yang bukan kebiasaannya.
Maka
suami sunat menasihati berdasarkan kepada kitab Allah swt dan mengigatkan
tanggungjawabnya yang diwajibkan oleh Allah swt tentang perhubungan yang baik
dan pergaulan yang mesra serta mengiktiraf martabat suami. Suami juga perlu
mengingatkan isteri tentang kemurkaan Allah swt serta balasan-Nya dan sunat
mengigatkannya.
Rasulullah
saw bersabda:
أيُّمَا امْرَأَةٍ مَانَتْ وَزَوُجُهَا عَىْهَا
رَاضٍ دَخَلَتِ الْجَنَّةَ
Maksudnya:
“manaa-mana perempuan yang meninggal dunia dalam keadaan suami redha dengannya,
dia akan masuk syurga. “[4]
Sekiranya
dengan peringatan itu isteri-isteri kembali menunaikan kewajipannya, itulah
yang terbaik. Apabila isteri benar-benar nusyuz dan terus enggan, suami
hendaklah meninggalkannya bersendirian di tempat tidur. Hal ini adalah kerana
perbuatan tersebut sungguh berkesan mendidiknya.
Jika
isteri berubah menjadi baik, cukuplah dengan perbuatan itu. Sebaliknya, jika
isteri kembali nusyuz dan terus ingkar, suami bolehlah memukulnya dengan
pukulan mendidik tanpa mencederakan tubuh badan dan mematahkan tulang, namun
bukan di bahagian muka atau tempat-tempat yang boleh mendatangkan bahaya. Pukulan
ini dibolehkan jika mengharapkan isterinya berubah dan berasa dia akan kembali kepada
sifat-sifat yang sepatutnya.
Jika
suami menyedari bahawa pukulannya tidak akan mengubah sikap isterinya, bahkan
menambahkan kebencian, maka suami tidak sepatutnya melakukannya.
Jika
perselisihan antara pasangan suami isteri tidak mampu diselesaikan oleh mereka,
ia hendaklah dibawa kepada hakim. Hakim hendaklah melantik dua orang tengah
daripada orang Islam yang adil dan berkebolehan berunding sebagai pendamai kepada
suami isteri tersebut. Kedua-dua pendamai itu sunat seorang daripada keluarga
suami yang dipersetujui dan seorang daripada keluarga isteri yang
dipersetujuinya dan seorang daripada keluarga isteri yang juga dipersetujuinya.
Kedua-dua
orang tengah tersebut hendaklah berusaha sedaya upaya mendamaikan suami isteri
tersebut . Jika usaha mereka Berjaya, itulah yang sebaik-baiknya. Sebaliknya,
jika tidak berjaya, suami hendaklah mewakilkan orang tengahnya untuk
menceraikan isterinya dan menebus (الخلع)
daripada isteri.
Isteri
juga mewakilkan orang tengahnya untuk menyerahkan bayaran tebus tersebut
sekiranya dia seorang yang berakal , dan menerimanya. Penceraian suami isteri
tersebut boleh diputuskan oleh orang tengah kedua-dua pihak jika mereka
berpendapat bahawa itulah yang betul.
Tetapi,
jika kedua-dua orang pendamai tidak sependapat hakim, hendaklah menghantar dua
orang pendamai yang lain sehingga mereka mendapat kata sepakat.
Jika
suami isteri tidak bersetuju dengan perlantikan pendamai dan tidak mencapai kata
sepakat, hakim hendaklah menghukum suami dan isteri yang berlaku zalim dan
memberikan hak kepada yang teraniaya dengan memakai keterangan kedua-dua
pendamai.
Hal
ini berdasarkan firman Allah swt:
وَإنْ خِفْتُمْ شِقَاقَ بَيْنِهِمَا فَاْبْعَثُواْ حَكَمًا مِّنْ
أَهْلِهِ وَحَكَمًا مِّنْ أَهْلِهَآ إِن
يُرِيدَآ إِصْلحًا يُوَفِّقِ اْللَّهُ بَيْنَهُمَآ إِنَّ أْللَّهَ كَانَ عَلِيمًا خَبِيرًا
,
Maksudnya:
Dan jika kamu khuatirkan ada
persengketaan antara keduannya, maka kirimkanlah seorang hakam dari keluarga
laki-laki dan sorang hakam dari keluarga perempuan, jika kedua orang hakam itu
bermaksud mengadakan perbaikan, nescaya Allah memberi taufik kepada
suami-isteri itu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi amat dalam
pengetahuan-Nya.[5]
7.0 ANALISA
PERUNTUKAN PENSABITAN NUSYUZ ISTERI DALAM ENAKMEN KELUARGA ISLAM PERAK 2004
7.1 Peruntukan
Berkaitan Nusyuz dalam Enakmen Keluarga Islam Perak 2004
Melalui
penelitian terhadap Enakmen Keluarga Islam Perak 2004, penulis mendapati bahawa
nusyuz hanya disebut dalam bahagian , iaitu Nafkah Isteri , Anak dan Lain-lain
dibawah perkara Kuasa Mahkamah untuk Memerintahkan Nafkah bagi Isteri dan Kesan Nusyuz, iaitu seksyen
60 (2) dan 60 (3). Kandungan kedua-dua seksyen tersebut adalah seperti berikut
:
60 (2)
Tertakluk kepada Hukum Syarak dan pengesahan Mahkamah, seseorang isteri tidaklah
berhak mendapat nafkah apabila dia nusyuz atau enggan dengan tidak berpatutan
menurut kemahuan atau perintah sah suaminya, iaitu antara lain :
a)
Apabila
dia menjauhkan dirinya daripada suaminya.
b)
Apabila
dia meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suaminya, atau
c)
Apabila
dia enggan berpindah bersama suaminya ke suatu rumah atau tempat lain, tanpa
apa-apa sebab yang sah mengikut Hukum Syarak
(3)
Selepas sahaja isteri itu bertaubat dan menurut kemahuan dan perintah sah
suaminya, maka isteri itu tidaklah lagi menjadi nusyuz.
Daripada
peruntukan ini, penulis dapat membuat rumusan bahawa persoalan nusyuz tidak
disebut secara berasingan melalui suatu peruntukan yang khusus dalam Enakmen
Keluarga Islam Perak 2004. Sebaliknya , persoalan nusyuz hanya disebut di bawah
perkara berkaitan nafkah. Oleh yang demikian, penulis bersetuju bahawa wujud
kekaburan dan kesamaran pada peruntukan ini untuk tujuan pensabitan nusyuz
isteri sebagaimana yang dinyatakan oleh
Razali Haji Nawawi (1998) dan Musa Awang (2004).
Jika
dibuat perbandingan, kesemua perbuatan yang disenaraikan oleh para fuqaha. Ini
menunjukkan bahawa penentuan perbuatan-perbuatan isteri yang boleh disabitkan
sebagai nusyuz isteri dalam Enakmen Keluarga Islam Perak 2004 adalah selari
dengan pendapat para fuqaha. Menurut Tuan Mohd Esham bin Abdul Samad, Hakim
Syarie Mahkamah Rendah Syariah Ipoh, di samping peruntukan dalam enakmen serta
pandangan fuqaha, pihak hakim akan menggunakan budi bicara yang berlandaskan
rujukan hukum syarak dalam mentafsirkan perbuatan-perbuatan lain yang boleh
dikira sebagai nusyuz.
7.2 Tatacara
Pensabitan Nusyuz
Untuk
membawa kes nusyuz isteri ke muka pengadilan, terdapat dua langkah yang boleh
diambil oleh pihak suami, iaitu sama ada terus membuat tuntutan di Mahkamah
Syariah atau pun membuat dakwaan melalui Bahagian Pendakwaan Jabatan Agama
Islam. Tuntutan nusyuz yang dibuat terus di Mahkamah Syariah akan membawa implikasi isteri hanya akan
dinafikan hak nafkahnya sahaja jika sabit nusyuz, manakala dakwaan nusyuz yang
dibuat melalui Bahagian Pendakwaan Jabatan Agama Islam akan membawa implikasi
isteri turut dikenakan denda jika sabit nusyuz.
Bagi
memulakan prosiding nusyuz ini pula, suatu saman perlu dikemukakan oleh
plaintif kepada pihak defenden. Prosiding berkaitan nusyuz ini perlu melalui
saman dan bukannya melalui permohonan kerana Enakmen Tatacara Mal Mahkamah
Syariah Perak 2004 telah menetapkan sedemikian.
Dengan
merujuk kandungan seksyen 63 hingga 67 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah
Perak 2004 ini, dapatlah disimpulkan bahawa dalam konteks kes nusyuz, beberapa
tindakan perlu dilaksanakan oleh pihak plaintif dan defendan sebelum pihak
mahkamah mengisytiharkan atau mensabitkan seseorang isteri telah nusyuz
sekaligus menggugurkan hak nafkahnya.
Tindakan-tindakan
tersebut secara umumnya apabila seseorang suami itu ingin membuat tuntutan
sabitan nusyuz ke atas isterinya, pihak suami perlu menfailkan pernyataan
tuntutan kepada mahkamah. Dalam tuntutan tersebut, pihak suami selaku plaintif
perlu menyatakan fakta-fakta yang dijadikan sandaran dan yang menunjukkan kuasa
tindakannya termasuk butiran-butiran tertentu yang menyokong dakwaan plaintif.
Selain itu, dalam tuntutan itu juga pihak suami perlu memasukkan suatu
pernyataan tentang relief yang dituntut, iaitu memohon mahkamah mensabitkan
nusyuz ke atas isterinya berdasarkan peruntukan yang berkaitan dalam Enakmen
Keluarga Islam Perak 2004.
Apabila
pihak mahkamah telah mendaftarkan kes tersebut, pihak mahkamah akan memanggil
kedua-dua pihak, iaitu suami dan isteri untuk mendengar keterangan kedua-dua
pihak. Sekiranya pihak isteri mengakui dan tidak membuat sebarang penafian
terhadap segala yang terkandung dalam tuntutan yang dibuat oleh suaminya dan
mahkamah berpuas hati dengan fakta-fakta serta bukti-bukti yang menyokong
tuntutan suami, maka mahkamah akan mensabitkan nusyuz ke atas isteri tersebut
berdasarkan seksyen 60(2) Enakmen Keluarga Islam Perak 2004.
Namun,
jika isteri selaku defendan itu mempertikai atau tidak bersetuju dengan
sebahagian atau keseluruhan kandungan tuntutan yang dibuat oleh pihak suaminya,
maka pihak isteri boleh menfailkan prnyataan pembelaan. Dalam pembelaan
tersebut, pihak isteri perlu memasukkan pernyataan yang mengaku atau menafikan
setiap fakta dan butiran yang terkandung dalam pernyataan tuntutan pihak suami.
Pihak isteri juga perlu menyatakan fakta-fakta baru yang dijadikan sandaran
olehnya sebagai pembelaan. Bagi menguatkan pembelaan tersebut, pihak isteri
perlu membangkitkan apa-apa perkara perundangan yang berkaitan.
Selain
pembelaan, pihak mahkamah juga memberi peluang kepada pihak isteri untuk
mengemukakan tuntutan balas jika ada, bersama-sama dengan pembelaannya itu.
Daripada segi bentuk kandungan tuntutan balas, ia adalah sama seperti
pernyataan tuntutan.
Setelah
pihak isteri menfailkan pembelaannya dan tuntutan balas sekiranya ada, mahkamah
boleh (atas alasan yang mencukupi) memberi kebenaran kepada pihak plaintif
untuk menfailkan suatu jawapan kepada pembelaan, sama ada pembelaan itu
merupakan pembelaan terhadap sesuatu tuntutan atau terhadap sesuatu tuntutan
balas.
Apabila
kesemua proses ini telah dilalui, mahkamah akan meneliti sedalam-dalamnya
segala keterangan, bukti dan buktiran fakta yang ada. Setelah berpuas hati dan
tiada sebarang keraguan yang boleh dipertikaikan, maka keputusan untuk
mensabitkan nusyuz ke atas seseorang isteri itu pun dibuat.
Bagi
tuntutan sabitan nusyuz yang difailkan dengan alas an isteri meninggalkan rumah
tanpa izin atau isteri enggan mentaati suami, pihak mahkamah terlebih dahulu
akan mengeluarkan perintah kembali taat dalam sesuatu tempoh masa yang sesuai
kepada pihak isteri. Jika tempoh masa yang diberikan oleh pihak mahkamah telah
berakhir tetapi pihak isteri masih tidak menuruti perintah mahkamah itu, maka
barulah mahkamah mengisytiharkan atau mensabitkan isteri itu nusyuz.
Sebenarnya
berdasarkan Enakmen Keluarga Islam Perak 2004, perintah untuk isteri kembali
taat kepada suami tidak diperuntukkan. Walau bagaimanapun, dari segi amalan di
Mahkamah Rendah Syariah Ipoh Perak, kebiasaannya hakim akan menggunakan budi
bicaranya dengan mengeluarkan perintah kembali taat kepada pihak isteri
terlebih dahulu sebelum keputusan pengisytiharaan nusyuz dibuat.
8.0 ANALISA
PENGHAKIMAN KES-KES NUSYUZ ISTERI OLEH MAHKAMAH RENDAH SYARIAH IPOH PERAK
8.1 Kes
Jaafar bin Md. Amin lwn. Zarina binti Mahayuddin
(No.
Kes: 08001/058/0621/2005)
Fakta
Kes
Plaintif
dan defendan bernikah pada 19 Mac 1994 dan mempunyai tiga orang cahaya mata.
Dalam pernyataan tuntutan, plaintif menyatakan bahawa defendan telah meninggalkan rumah kelamin dan balik ke
rumah keluarganya pada 30 September 2005 tanpa pengetahuan plaintif. Defendan
ada menghubungi plaintif memaklumkan akan kembali ke rumah pada 2 Oktober 2005.
Namun, pada tarikh tersebut defendan menghubungi plaintif dan memaklumkan
bahawa defendan tidak akan pulang ke rumah. Sebaliknya, defendan akan terus
tinggal di rumah keluarganya. Pada 5 Oktober 2005, plaintif telah dihubungi
oleh Pejabat Agama Islam Batu Gajah, Perak yang meminta plaintif hadir ke
pejabat tersebut pada 7 Oktober 2005 untuk sesi kaunseling.
Plaintif
menyatakan bahawa sepanjang perkahwinan, plaintif dan defendan tidak pernah
bergaduh. Masalah rumah tangga mereka hanya bermula apabila defendan
meninggalkan rumah pada 30 September 2005 dengan membawa bersama anak-anak ke
kampong tanpa izin plaintif. Oleh yang demikian, plaintif telah memohon kepada
mahkamah agar defendan diisytiharkan nusyuz di bawah seksyen 60 (2) Enakmen
Keluarga Islam Perak 2004. Plaintif juga telah memohon kepada mahkamah suatu
perintah agar defendan baik dan taat kepada plaintif.
Apabila
pihak mahkamah memanggil pihak-pihak yang bertelingkah untuk mendengar sebutan,
mahkamah dimaklumkan bahawa pihak defendan, iaitu isteri telah terlebih dahulu
menfailkan tuntutan penceraian takhlik (N0. Kes: 08001/057/0615/2005) dua hari
sebelum plaintif, iaiatu suami menfailkan tuntutan sabitan nusyuz. Oleh yang
demikian, mahkamah memutuskan untuk mendengar kes tuntutan sabitan nusyuz
bersekali dengan tuntutan penceraian takhlik.
Dalam
pernyataan tuntutan penceraian taklik, plaintif iaitu isteri telah menyatakan
bahawa pada 30 september 2005 plaintif balik ke rumah ibu bapanya kerana telah
membuat keputusan untuk berpisah dengan defendan, iaitu suaminya kerana
defendan merupakan seorang penagih dadah. Sepanjang perkahwinan, plaintif telah
banyak bersabar dengan perlakuan keji defendan itu. Plaintif menyatakan bahawa
defendan menjadikan rumah kelamin mereka sebagai tempat menghisap dadah bersama
abang defendan. Ada kalanya, defendan menghisap dadah di depan anak-anak.
Defendan juga tidak memberi nafkah yang mencukupi serta pernah memaksa plaintif
meminjam wang daripada ahli keluarga dan jiran-jiran.
Semasa
akad nikah dahulu, plaintif menyatakan bahawa defendan ada melafazkan cerai
taklik. Oleh yang demikian, plaintif memohon kepada mahkamah agar mensabitkan
lafaz cerai taklik tersebut mengikut seksyen 50 Enakmen Keluarga Islam Perak
2004.
Penghakiman
Semasa
perbicaraan, pihak plaintif dan defendan telah mencapai suatu persetujuan,
iaitu defendan selaku suami bersetuju menceraikan plaintif dan defendan juga
bersetuju untuk menarik balik tuntutan sabitan sabitan nusyuz terhadap
plaintif. Olleh yang demikian, mahkamah memutuskan untuk mengesahkan perceraian
tersebut mengikut seksyen 47 Enakmen Keluarga Islam Perak 2004.
Analisa
Berdasarkan
kes ini, penulis mendapati bahawa terdapat pertembungan dua tuntutan yang
dibuat oleh pihak suami dan isteri, iaitu tuntutan sabitan nusyuz ke atas
isteri dan tuntutan pengesahan perceraian taklik. Memandangkan kedua-dua
tuntutan ini melibatkan pihak-pihak yang sama, serta keterangan-keterangan
dalam kedua-dua tuntutan ini berkisar perkara-perkara yang hampir sama, maka
mahkamah memutuskan untuk mendengar kedua-dua kes ini secara bersekali.
Walaupun
tiada peraturan yang menetapkan dua kes didengar secara bersekali, namun demi
mempercepatkan penyelesaian pengendalian kes dan pihak-pihak yang bertelingkah
akan mendapat hak masing-masing tanpa melalui tempoh perbicaraan yang panjang,
maka pihak hakim telah menggunakan budi bicaranya untuk mendengar secara
bersekali kedua-dua tuntutan tersebut.
Di
samping itu, tindakan mahkamah mendengar dua kes ini secara bersekali adalah
sebagai memenuhi kehendak Arahan Amalan berkaitan kes nusyuz yang menyatakan
bahawa kes nusyuz hendaklah didengar dalam kes induk dan tidak perlu dibuat
berasingan.
Merujuk
kepada tuntutan suami untuk mensabitkan isterinya nusyuz, alasan isteri keluar
rumah tanpa izin adalah diterima oleh hukum syarak berdasarkan pandangan fuqaha
dan juga ada dalam peruntukan Enakmen Keluarga Islam Perak 2004.
Walau
bagaimanapun, setelah meneliti kandungan tuntutan pengesahan perceraian yang
dibuat oleh isteri, didapati pihak isteri mempunyai alasan yang boleh diterima
oleh syarak untuk keluar dari rumah kelamin tanpa izin, iaitu suami seorang
penagih dadah dan berperangai buruk dengan menghisap dadah di depan anak-anak.
Tindakan isteri ini dilihat bertujuan melindungi emosi dan psikologi anak-anak
serta dirinya sendiri yang dipaksa oleh suami untuk berhutang dengan ahli
keluarga dan jiran, Tindakan suami yang tidak menfailkan pembelaan terhadap
tuntutan pihak isteri pula menampakkan bahawa suami memang berada di pihak yang
salah.
Keputusan
piihak mahkamah membenarkan persetujuan plaintif dan defendan untuk bercerai
dan menarik balik tuntutan sabitan nusyuz ke atas isteri adalah langkah terbaik
demi menjaga kemaslahatan kedua-dua pihak dan selari dengan roh syariat Islam.
8.2 Kes
Kasim bin Abdul Ghani lwn. Juhana binti Tajudin
(No.
Kes: 080001/058/499/2006)
Fakta
Kes
Plaintif
dan defendan bernikah pada 26 Ogos 1988 dan mempunyai seorang anak. Dalam
pernyataan tuntutan, plaintif menyatakan bahawa pada 25 Julai 2006 defendan
telah lari dari rumah dan sehingga kini defendan tidak dapat dikesan. Defendan
pernah menghubungi plaintif melalui telefon dan kesempatan ini digunakan oleh
plaintif untuk memujuk defendan agar pulang tetapi defendan enggan. Oleh yang
demikian, plaintif telah memohon kepada mahkamah suatu perintah agar defendan
balik dan kembali taat. Jika defendan enggan, plaintif mohon mahkamah
mengisytiharkan defendan nusyuz mengikut seksyen 60 (2) Enakmen Keluarga Islam
Perak 2004.
Penghakiman
Setelah
meneliiti kes ini, mahakamah membenarkan permohonan plaintif, iaitu defendan
diperintahkan untuk kembali taat kepada plaintif dalam tempoh 14 hari dari
tarikh perintah itu dikeluarkan dan jika tempoh tersebut telah tamat, defendan
diisytiharkan nusyuz seperti mana dibenarkan mengikut seksyen 60 (2) Enakmen
Keluarga Islam Perak 2004. Memandangkan sepanjang kes ini dikendalikan defendan
tidak pernah hadir dan laporan penyampaian saman juga menunjukkan bahawa saman
tidak dapat disampaikan kepada defendan, maka mahkamah mengarahkan agar
penyampaian perintah ini dibuat di akhbar tempatan.
Analisa
Berdasarkan
penelitian terhadap kes ini, penulis mendapati bahawa alasan yang dikemukakan
oleh plaintif agar mahkamah mensabitkan defendan sebagai nusyuz adalah sama
dengan kes-kes yang lain, iaitu keluar rumah tanpa izin. Sungguhpun begitu,
penulis mendapati kes ini agak ringkas berbanding kes-kes nusyuz lain yang
dikaji oleh penulis kerana pihak defendan tidak dapat dikesan oleh plaintif
sehingga kes ini difailkan di mahkamah. Sepanjang perbicaraan di mahkamah pula,
defendan tidak pernah menghadirkan diri. Laporan penyampaian saman juga
menunjukkan bahawa saman tidak dapat dieserahkan kepada defendan. Oleh yang
demikian, tiada sebarang pembelaan difailkan oleh pihak defendan.
Dalam
menghakimi kes sebegini, didapati bahawa pihak mahkamah telah bertindak
berlandaskan garis panduan yang telah ditetapkan dalam Enakmen Tatacara Mal
Mahkamah Syariah Perak 2004, iaitu sekiranya saman yang dikeluarkan itu tidak
dapat disampaikan kepada pihak defendan secara biasa, maka penyampaian boleh
dibuat dalam mana-mana akhbar tempatan. Perkara ini ada dinyatakan dalam
seksyen 48 (2) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Perak 2004.
Setelah
tempoh masa yang diberikan untuk defendan mematuhi perintah yang dikeluarkan
itu berakhir dan defendan masih belum dapat dikesan serta tiada sebarang
tindakan diambil oleh pihak defendan, maka mahkamah telah membuat
pengisytiharan nusyuz. Pengisytiharan ini dibuat setelah mahkamah mengarahkan
plaintif mengangkat sumpah istizhar. Perkara ini pula dinyatakan dalam seksyen
121 (1) (b) dan seksyen 121 (2) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Perak
2004.
Dalam
persoalan sumpah istizhar ini, Wahbah al-Zuhayliyy (1985) telah mendatangkan
pandangan keempat-empat mazhab. Secara ringkasnya, menurut mazhab Malikiyy,
sumpah ini dibuat untuk kes nafkah isteri, dakwaan ke atas orang yang ghaib,
anak yatim, wakaf, tempat-tempat tinggal, setiap perkara kebajikan, baitul mal,
haiwan dan sebagainya. Mazhab Hanafiyy pula menyenaraikan beberapa keadaan yang
diwajibkan ke atas pihak yang mendakwa untuk bersumpah istizhar , iaitu
termasuklah dalam kes nafkah isteri bagi suami yang ghaib. Pada pandangan
mazhab Shafi’iyy pula, sumpah istizhar dikenakan walaupun tidak diminta oleh
pihak yang terlibat dalam pertikaian, jika ia melibatkan kes dakwaan ke atas
orang yang mati, orang yang ghaib, kanak-kanak kecil, orang yang ditahan
(mahjur), orang bodoh (safih), orang gila, orang yang kurang akal dan dalam kes
yang dibuktikan melalui saksi dan sumpah. Walau bagaimanapun bagi mazhab
Hanbaliyy pula, sumpah istizhar ini dikenakan sekiranya terdapat keterangan ke
atas orang yang ghaib, orang yang bersembunyi, orang yang sudah mati, anak
kecil atau orang gila.
Daripada pandangan-pandangan ini, dapatlah
dirumuskan bahawa sekiranya pihak yang didakwa tidak hadir atau tidak dapat
dikesan (ghaib) semasa proses perbicaraan dijalankan, maka sesuatu kes itu
boleh diputuskan secara sebelah pihak dengan syarat pihak yang mendakwa
dikehendaki untuk bersumpah istizhar.
Dengan
ini, jelaslah bahawa dalam kes Kasim bin Abdul Ghani lwn. Juhana binti Tajudin,
pihak hakim telah membuat keputusan yang menepati peruntukan dalam enakmen serta pandangan syarak.
8.3 Kes Fauzy Omar Basheer bin Othman lwn.
Sarah Nur binti Shamsuddin
(No.
Kes: 08001/058/0483/2007)
Fakta
Kes
Plaintif
dan defendan bernikah pada 2 Ogos 2002 dan dikurniakan seorang anak. Plaintif
merupakan seorang Jurutera Petronas dan dihantar bertugas di Austria pada
Januari 2006. Plaintif pergi ke sana bersama defendan dan anak mereka. Menurut
pernyataan tuntutan plaintif, pada Jun 2006 defendan pulang ke Malaysia bersama
anak mereka kerana defendan akan memulakan tugas sebagai doktor. Walaupun
plaintif tidak bersetuju dan defendan sendiri keberatan untuk pulang ke
Malaysia, namun atas desakan keluarga defendan tindakan itu diambil juga.
Situasi kehidupan mereka yang tinggal berjauhan ini menyebabkan plaintif
membuat keputusan untuk pulang ke Malaysia setiap lapan minggu sekali dan
setiap kali pulang, plaintif akan berada selama dua minggu untuk bersama-sama
dengan defendan dan anak mereka.
Selepas
beberapa lama plaintif dan defendan tinggal berjauhan, plaintif mendapat tahu
bahawa defendan ada membuat hubungan dengan lelaki lain yang juga merupakan
seorang doktor di hospital tempat defendan bertugas. Apabila diminta penjelasan
oleh plaintif, defendan mengakui akan perkara tersebut.
Dalam
pernyataan tuntutan itu juga, plaintif memaklumkan bahawa plaintif dan defendan
pernah mendapat khidmat kaunseling di Pejabat Agama Islam Kuala Kangsar dan
hasilnya defendan berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya itu. Walau
bagaimanapun, defendan telah memungkiri janjinya itu apabila masih meneruskan
hubungan dengan doktor lelaki tersebut. Oleh yang demikian, plaintif telah
memohon kepada mahkamah agar mensabitkan nusyuz ke atas defendan seperti yang
dibenarkan mengikut seksyen 60 (2) Enakmen Keluarga Islam Perak 2004.
Bagi
pihak defendan pula, setelah menerima pernyataan tuntutan daripada plaintif,
defendan memahaminya dan tifak bercadang untuk menfailkan pembelaan. Defendan
memahami akan kesan dan akibat apabila disabitkan nusyuz ke atasnya.
Penghakiman
Apabila
tiada pembelaan yang dibuat oleh pihak defendan terhadap tuntutan plaintif,
maka mahkamah telah mensabitkan nusyuz ke atas defendan mengikut seksyen 60 (2)
Enakmen Keluarga Islam Perak 2004. Ekoran daripada pensabitan ini, mahkamah
memutuskan hak nafkah dan tanggungjawab plaintif terhadap defendan gugur.
Analisa
Kes
ini telah menunjukkan berlakunya pensabitan nusyuz ke atas isteri apabila
mahkamah berpuas hati dengan pernyataan
tuntutan suami dan tiada pernyataan pembelaan yang difailkan oleh
isteri. Ini menunjukkan bahawa tuduhan suami tentang perbuatan nusyuz isterinya
adalah benar sekaligus membolehkan mahkamah membuat sabitan nusyuz terhadap
isteri sebagaimana yang diperuntukkan dalam seksyen 60 (2) Enakmen Keluarga
Islam Perak 2004.
Dalam
memutuskan keputusan pensabitan nusyuz ke atas isteri ini, asas yang dijadikan
sandaran oleh hakim ialah reaksi defendan atau isteri tersebut yang tidak
mempertikai atau membantah keseluruhan mahupun sebahagian tuntutan plaintif.
Bahkan isteri terbabit mengaku (iqrar) akan perbuatan nusyuznya serta memahami
kesan daripada pengisytiharan nusyuz kepada dirinya yang bakal dikeluarkan oleh
mahkamah.
Apabila
pihak isteri tidak menfailkan pembelaan atau mempertikai tuntutan suami seperti
yang ditetapkan dalam tatacara ini, bahkan wujud pula pengakuan akan perbuatan
nusyuz oleh pihak isteri, maka hal ini menjadi asas kepada mahkamah untuk
mensabitkan nusyuz ke atas isteri.
8.4 Kes
Syed Dany Faizal bin Said Md Nasir lwn. Wan Suhana binti Mior Ahmad Sabri
(No.
Kes: 08001/058/0354/2008)
Fakta
Kes
Plaintif
dan defendan bernikah pada 1 Mei 2004 dan dikurniakan dua orang cahaya mata.
Dalam pernyataan tuntutan, plaintif menyatakan bahawa pad 5 Mei 2008, dia telah
memujuk defendan yang ketika itu berada di rumah keluarganya untuk kembali ke
pangkuannya. Walau bagaimanapun, defendan enggan dan keluarga defendan pula
menghalang plaintif untuk membawa defendan pulang. Oleh yang demikian, plaintif
telah memohon kepada mahkamah suatu perintah agar defendan balik dan taat
semula atau mengisytiharkan defendan nusyuz seperti yang dibenarkan mengikut
seksyen 60 (2) Enakmen Keluarga Islam Perak 2004.
Setelah
menerima pernyataan tuntutan, defendan telah menfailkan pernyataan pembelaan
dengan menyatakan bahawa pada 5 Mei 2008 plaintif masih dalam tahanan reman
polis. Oleh itu, defendan menafikan ada menerima sebarang panggilan telefon
atau berkomunikasi dengan plaintif pada tarikh tersebut. Defendan juga dalam
pembelaannya bahawa sepanjang empat tahun perkahwinan mereka, plaintif sering
mengamuk tanpa sebab. Defendan sering dipukul, disepak dan diterajang. Defendan
pernah tumpah darah ketika mengandung akibat tindakan-tindakan ganas plaintif.
Defendan juga menyatakan bahawa plaintif terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
Setelah
menerima pernyataan pembelaan, plaintif menfailkan pula penyataan tuntutan
terpinda dengan menyatakan bahawa sepanjang perkahwinan dengan defendan, rumah
tangga mereka tidak pernah aman kerana keluarga defendan sering masuk campur
dan menghasut defendan apabila berlaku perselisihan di anatara plaintif dan
defendan. Plaintif menyatakan bahawa ibu bapa defendan sering berusaha untuk
memisahkan defendan dengan plaintif. Plaintif menyatakan bahawa dia telah
memberi keizinan kepada defendan untuk berpantang di rumah ibu bapa defendan
sehingga selesai tempoh berpantang atau sehingga benar-benar sihat akibat
bersalin. Namun, apabila habis berpantang dan defendan telah benar-benar sihat,
defendan enggan balik ke rumah tanpa alasan yang munasabah.
Plaintif
pernah beberapa kali mmemujuk defendan untuk kembali tetapi defendan tetap
enggan. Plaintif percaya bahawa keputusan defendan itu adalah akibat hasutan
ibu bapa defendan. Menurut plaintif juga, ibu bapa defendan pernah meminta agar
plaintif melepaskan defendan tetapi plaintif enggan kerana masih menyayangi
defendan. Pada 30 April 2008, plaintif menyatakan bahawa berlaku pertengkaran
mulut dengan defendan. Kemudian, defendan telah menghubungi bapanya dan tidak
lama selepas itu, bapa defendan dating bersam polis. Plaintif telah dibawaa ke
Balai Polis untuk disoal siasat. Pada masa yang sama, bapa defendan membawa
defendan dan anak-anak balik ke rumah keluarga defendan. Pada 5 Mei 2008,
plaintif telah dibebaskan dengan jaminan polis dan plaintif telah menghubungi
defendan untuk memujuknya pulang ke rumah tetapi defendan enggan.
Setelah
menerima pernyataan tuntutan terpinda ini, defendan sekali lagi menfailkan
pernyataan pembelaan dan tuntutan balas terpinda. Dalam pembelaan itu, defendan
menyatakan bahawa tujuan dia mengikut bapanya pulang ke rumah keluarganya
adalah untuk menyelamatkan diri kerana plaintif merupakan seorang yang panas
baran dan sering bertindak ganas terhadap defendan. Menurut defendan, plaintif
sudah tidak bekerja sebagai guru kerana telah ditamatkan perkhidmatan. Menurut
defendan juga, perkahwinan mereka direstui oleh keluarga defendan dan defendan
hairan mengapa plaintif mendakwa perkahwinan mereka tidak direstui.
Di
samping membuat pernyataan pembelaan terpinda, defendan juga membuat tuntutan
balas iaitu defendan ingin menuntut fasakh atas sebab-sebab berikut, iaitu
plaintif sering mengamuk dan memukul defendan tanpa sebab, plaintif terlibat
denga penyalahgunaan dadah, plaintif mengabaikan tanggungjawab sebagai pendidik
kerana sering tidak hadir ke sekolah, plaintif tidak pernah bersembahyang dan
brerpuasa, plaintif tidak memberi nafkah yang cukup kerana wang gaji digunakan
untuk membeli dadah dan plaintif tidak pernah terlibat dengan kes jenayah,
iaitu melanggar bapa defendan dengan kereta sehingga patah tangan bapa
defendan. Kes tersebut masih dalam siasatan polis di bawah seksyen 325 Kanun
Keseksaan. Oleh yang demikian, defendan telah memohon kepada mahkamah agar
meluluskan pembubaran perkahwinan mereka di bawah seksyen 53 Enakmen Keluarga
Islam Perak 2004.
Selepas
itu, plaintif pula memberi jawapan kepada tuntutan balas defendan dengan
menafikan bahawa dia telah ditamatkan perkhidmatan sebagai guru. Plaintif juga
menyatakan bahawa plaintif bukan seorang yang ganas, sebaliknya seorang pendiam
melainkan jika ada provokasi. Plaintif menyatakan bahawa bapa defendanlah yang
sering mengganggu plaintif di sekolah tempat plaintif bertugas dan hal ini
memberi tekanan kepada plaintif. Akibat tekanan, gangguan dan campur tangan
daripada pihak bapa defendan, plaintif telah mengalami Major Mental Depression
dan plaintif masih mendapatkan rawatan doctor pakar di Hospital Ipoh. Akibat
masalah tekanan ini, plaintif mengambil cuti tanpa gaji untuk memulihkan
keadaan diri.
Penghakiman
Setelah meneliti keterangan daripada kedua-dua
belah pihak dan atas persetujuan pihak suami dan pihak isteri untuk bercerai,
maka mahkamah telah membuat keputusan plaintif dan defendan bercerai di bawah
seksyen 47 Enakmen Keluarga Islam Perak 2004. Defendan juga bersetuju untuk
tidak membuat sebarang tuntutan nafkah sama ada nafkah idah, mutaah dan harta
sepencarian selepas perceraian ini. Hak penjagaan anak sulung diberi kepada
plaintif, manakala anak kedua diberikan kepada defendan.
Analisa
Berdasarkan
kes ini, penulis mendapati suami telah mengemukakan permohonan kepada mahkamah
suatu perintah agar isterinya balik dan taat semula atau mengisytiharkan
isterinya nusyuz jika isteri enggan mematuhi perintah itu. Alasan kepada
permohonan suami ini ialah isterinya telah keluar rumah tanpa izin dan enggan
pulang walaupun setelah dipujuk. Jika dirujuk pada seksyen 60 (2) Enakmen
Keluarga Iskam Perak 2004, permohonan ini adalah dibenarkan. Begitu juga
menurut pandangan keempat-empat mazhab utama, isteri yang keluar rumah tanpa
izin boleh dikira sebagai nusyuz.
Sungguhpun
begitu setelah meneliti pembelaan isteri, penulis mendapati tindakan isteri
keluar rumah tanpa izin suami adalah bertujuan untuk menyelamatkan diri
daripada tindakan-tindakan suami yang mendatangkan kecederaan fizikal
terhadapnya. Apabila dirujuk kepada pandangan fuqaha, alasan ini dikira
munasabah dan isteri tidak boleh disabitkan nusyuz atas tindakannya itu.
Walaupun dalam tuntutan balas isteri ada memohon kepada mahkamah agar
membubarkan perkahwinan mereka berdasarkan peruntukan dalam seksyen 53 Enakmen
Keluarga Islam Perak 2004 tetapi setelah melalui proses perbicaraan, suami dan
isteri masing-masing bersetuju untuk bercerai secara biasa. Oleh yang demikian,
mahkamah membuat keputusan plaintif dan bercerai mengikut seksyen 47 Enakmen
Keluarga Islam Perak 2004. Walaupun isteri tidak disabitkan nusyuz dalam kes
ini, isteri tersebut bersetuju untuk tidak menuntu sebarang nafkah, mutaah dan
harta sepencarian selepas perceraian tersebut.
9.0 Kesimpulan
Sebagai
kesimpulan, bolehlah dikatakan bahawa walaupun diakui yang kelakuan nusyuz oleh
pihak isteri melucutkan haknya untuk mendapat nafkah selagi dia nusyuz,
beberapa hujah boleh dikemukakan mengenai masalah untuk menentukan perbuatan
apakah yang menjadi nusyuz dan perbuatan yang tidak patut dikira sebagai nusyuz
oleh pihak isteri. Istilah nusyuz pada kebiasaannya digunakan sebagai bererti
oleh pihak isteri, akan tetapi patutlah diingat bahawa ayat al-Quran juga
menggunakan istilah nusyuz bagi merangkumi perbuatan nusyuz oleh pihak suami
juga.
Seterusnya,
Mahkamah Rendah Syariah Ipoh Perak didapati telah mengendalikan kes tuntutan
nusyuz isteri dengan adil dan menepati fiqh Islam walaupun terdapat sedikit
kelompangan peruntukan yang tidak mengkhususkan sabitan nusyuz dalam Enakmen
Keluarga Islam Perak 2004. Namun, selaku badan pentafsir undang-undang, pihak
hakim telah menggunakan kuasanya untuk mentafsir sekdyen 60 (2) enakmen
berkenaan sebagai sandaran yang digunakan untuk mengendalikan kes tuntutan
sabitan nusyuz. Melihat kepada kekurangan ini, suatu peruntukan yang khusus
berkaitan sabitan nusyuz perlu dimasukkan dalam enakmen agar pengendalian kes
tersebut menjadi lebih lancar dan wujud keseragaman pentafsiran di antara
seorang hakim dengan hakim yang lain.
Rujukan
1)Al-Quran
al-Karim.
2)al-Ashqar,
Muhammad ibn Sulaymān ibn ‘Abdullah. (1998). Al-Mujalla Fī alFiqh al-Hanbaliyy.
Damsyik: Dār al-Qalām. Jil. 1.
3)al-Kasāniyy,
‘Ala’ al-Dīn Abī Bakr. (1997). Badā’i al-Sanāi’ Fī Tartīb al-Sharāi’, Tahqīq:
Mu’awwid, Muhammad ‘Aliyy & ‘Abd al-Mawjūd, ‘Ādil Ahmad. Beirut: Dār
al-Kutub al-‘Ilmiyyah. Jil. 3.
4)al-Khīn,
Mustafā, & al-Bughā, Mustafā. (1998). al-Fiqh al-Manhajiyy ‘Ala Madhhab
al-Imām al-Shāfi’iyy. Beirut: Dār al-Shāmiyyah. Jil.2
5)‘Alīsh,
Muhammad.(1989). Sharhu Manhi al-Jalīl ‘Ala Mukhtasar al-‘Allāmah Khalīl.
Beirut: Dār al-Fikr. Jil. 3.
6)Raihanah
Hj. Azahari. (2007). Permasalahan Rumah tangga: Kajian di Unit Undang-undang
Keluarga Jabatan Agama Islam Daerah Petaling, Selangor. Jurnal Syariah, 15(1),
7)Kursus
dan Bimbingan Perkahwinan, Ustaz Abdul Aziz, Darul Nu’man .
8)Panduan
Fiqh Munakahat, Yazid Haji Maarof dan Mohammad Kamil Ab Majid 2015.
9)Pendidikan
Islam Tingkatan 5, Percetakan Zainun Qasim Sendirian Berhad.
10)Dosa-dosa
Isteri Yang Paling Dibenci Allah s.w.t, Masykur Arif Rahman, Al-Hidayah House
Of Publishers Sdn. Bhd.
11)Al-Fiqh
Al-Manhaj; Kekeluargaan Islam Dalam Fiqh Al-Syafi’I, Dr. Zulkifli Mohamad
Al-Bakri, Darul Syakir Enterprise.
12)Fiqh
Islam Mazhab Syafie, Dr. Mustafa Dieb Al- Bigha, Al-Hidayah Publication.
Mcm mana saya nk mengakat sumpah kpd allah swt dan kembali taat setia padA suami
ReplyDelete